
“Masa di sana dulu, dia ada ke macam itu?”, saya bertanya kepada sang suami.
“Tak ada ustaz. Semua ok sahaja. Semenjak balik ke Malaysia ini yang berubahnya”, jawabnya jujur. Berat suara.
Sahabat saya ini bukanlah pasangan pertama. Malah di sebelah isteri juga, Ummu Saif mendapat feedback yang sama.
“Dulu masa di luar negara, semuanya sweet. Entahlah… susah nak cakap. Balik Malaysia semuanya jadi berubah”, kata seorang teman kepada isteri saya.
BERSIDANG
Di rumah, kami ‘bersidang’. Cuba mencari kembali punca kepada semua hal ini. Punca kepada retak dan belahnya satu demi satu rumahtangga yang sangat menggusarkan. Kalau boleh saya andaikan, perkembangan ini sedikit ‘memerengkan’ saya dan isteri, saya katakan, “ya!”
Mungkin isu keretakan ini kami kaitkan dengan soal berumahtangga di luar negara kerana kebetulannya saya dan Ummu Saif dahulunya belajar di luar negara, bertemu dan berumahtangga di perantauan untuk tempoh yang panjang. Saya 11 tahun dan Ummu Saif 9 tahun. Justeru kenalan kami ramai yang merupakan bekas pelajar Malaysia yang pernah menuntut di luar negara.
TERKILAN
Apabila diajak berbual, masing-masing menyuarakan rasa terkilan. Tidaklah menolak ketentuan Allah, sebaliknya ingatan itu selalu terkenang-kenangkan kehidupan di luar negara. Kenangan itu bukan untuk mengada-ngada, tetapi kerana mencari kembali punca-punca keretakan rumahtangga teman, yang suatu ketika dahulu pernah dan sangat tenang menyusuri pohon-pohon pine, salji dan tupai berkeliaran di taman perantauan.

Masakan Malaysia yang mahu dipersalahkan. Itu reaktif namanya. Meletakkan faktor-faktor luaran sebagai punca masalah dalaman. Apatah lagi faktor yang di luar kawalan.
Tetapi tidak dapat dinafikan, bahawa semenjak pulang ke Malaysia, banyak yang berubah.
“Kenapa abang jadi garang kepada anak-anak?”, tanya Ummu Saif kepada saya.
Terdiam.
Tiada upaya untuk defensive kerana ia adalah pertanyaan yang telus. Saya sedar betapa dahulunya saya sangat selesa dengan kerenah kanak-kanak. Boleh sabar dengan jeritan 10 kanak-kanak yang berlari-lari di hadapan saya yang sedang berceramah. Tetapi hari ini usahkan dengan anak orang, anak sendiri pun saya kemarau sabar yang itu. Sangat mudah terganggu.
“Entahlah, stress barangkali”, saya menjawab lesu.
TEKANAN
Itulah kata kuncinya… STRESS.
Tekanan itulah yang menjadikan segala-galanya berubah. Secara akumulatif tanpa sedar.
Bukan tiada beban kerja dan masalah semasa tinggal di UK dan Ireland, atau di Australia dan USA bagi segelintir teman. Tetapi hakikatnya kehidupan di kampung halaman sendiri sangat-sangat complicated berbanding kehidupan di perantauan.
Ada semacam rasa gelisah dan tidak tenteram yang datang saban hari. Tambahan pula dengan kemualan diri terhadap isu-isu politik yang sungguh menggelisahkan. Politik kotor, ekonomi menekan, sosial membimbangkan, segalanya bertimbun sedikit demi sedikit selain tekanan kerja masing-masing.
KOMUNIKASI
“Anta survive macam mana?”, tanya teman saya itu tadi.
“Survive hanya boleh disebut selepas mati. Buat masa ini, usahanya ialah KOMUNIKASI. Berbincang… itulah ikhtiarnya, selain sama-sama berdoa kepada Dia”, saya berkongsi.
Benar sekali, saya bersyukur kepada Allah kerana antara saya dan isteri, kami gagahkan diri untuk bercakap. Berbincang dan meluahkan tekanan masing-masing.
“Kenapa diam?”, pernah Ummu Saif bertanya kepada saya.
“Damaging. My words are damaging!“, itulah jawapan saya.
Itu kegusaran umum yang rupa-rupanya ada pada kebanyakan lelaki. Lebih suka mendiamkan diri daripada bertindak reaktif menjawab pertanyaan isteri. Diam kerana percaya bahawa kata-katanya selalu berbisa… boleh mencetus binasa.
Diamnya suami memang ada ketika, menjadi asbab yang menyelamatkan rumahtangga. Jika suami membuka mulut, melayan leteran isteri, maka ada ketika buruk padahnya.
Tetapi di masa-masa yang banyak, diamnya seorang suami itu menjadi racun dan api di dalam sekam. Diamnya bukan diam selesai, tetapi diam dendam. Sama buruknya juga dengan isteri yang hilang kawalan bercakap.
Atas kesedaran itu, saya berusaha untuk bercakap dan menyusun perkataan. Menguatkan diri untuk berbincang dan terima kasih kepada isteri saya kerana tidak putus asa menunggu dan mengusahakan percakapan. Saya mengambil masa yang panjang untuk mampu berbincang secara terbuka terhadap cabaran-cabaran berumahtangga yang datang saban hari.
Banyak tekanan hidup yang menimpa kami, diselesaikan dengan berbincang.
TAK SEMPAT-SEMPAT
Tetapi bagaimana dengan rakan-rakan yang lain?
“Bila kali terakhir anta berbincang heart to heart dengan zaujah?”, saya bertanya.
“Hmm… adalah dalam lima enam bulan sudah!”, jawab teman ini. Lesu.
Sering ketegangan berumahtangga yang sampai melibatkan cerai berai ini, terjadi tanpa ikhtiar untuk berkomunikasi. Dan harganya sungguh besar. Tatkala tiada komunikasi yang baik antara suami dan isteri, muncul pula orang ketiga, timbul pula bekas kekasih lama, datang pula nostalgia-nostalgia zaman ‘muda-muda’ dulu… dan saya meratapi keruntuhan rumahtangga yang disusuli perubahan syakhsiah dai’ie itu sendiri.
Selepas bergaduh dengan isteri, atau suami, tak sempat-sempat untuk mencabut title ‘ikhwah’ juga ‘akhawat’ itu.
DI MANA SILAPNYA?
Apakah semua ini salah Tarbiyah kita atau Malaysia ini sudah terlalu rosak hingga orang-orang yang pernah mendapat Tarbiyah pun apabila pulang ke Malaysia habis jadi ‘awam’ belaka?
Saya pernah menyoal hal ini kerana terlalu diganggu oleh satu demi satu isu keretakan rumahtangga yang menimpa teman. Mujurlah isteri saya sama berminat dalam membincangkan hal ini. Jika tidak, saya sendiri jatuh murung akibat masalah kawan-kawan.
“Mungkin memang masyarakat kita banyak cabaran. Girlfriend lama, boyfriend lama, semua muncul kembali”, kata Ummu Saif.
“Tapi kalau semua itu berjaya mengubah diri teman-teman seperjuangan kita, itu tandanya kita lemah. Maknanya Tarbiyah kita gagal menyediakan manusia yang kuat mendepani realiti”, saya membantah, tetapi sebenarnya untuk mengiyakan andaian Ummu Saif.
“Di mana kelemahannya?”, tanya isteri saya lagi.
Terdiam semula.

Saya cuba mencari-cari kembali apa yang pernah saya belajar dan mengajar tentang isu rumahtangga selama saya di perantauan. Pencarian itu menemukan saya dengan beberapa kelompongan yang besar.
FIKRAH SIMPLISTIK
Kecacatan pertama dalam Tarbiyah yang saya alami adalah wujudnya kecenderungan kepada pemikiran yang simplistik dalam berumahtangga. Kita mungkin begitu berfalsafah tinggi dalam hal-hal politik dan isu ummah, tetapi kita simplistik dalam menggarap fikrah tentang rumahtangga. Malah mungkin tidak keterlaluan saya katakan, ada yang rasa ‘bodoh’ membaca buku rumahtangga tatkala isu siang malamnya adalah politik dan pemerintahan.
Sayalah itu.
Saya pernah menyebut beberapa kali semasa tinggal di Ireland dulu, “kenapalah rak-rak buku student kita sekarang ni penuh dengan buku-buku Suami Mithali, Isteri Mithali? Corak budaya membaca kita sudah berubahkah?”
Sayalah yang mengeluh begitu suatu ketika dulu.
Melihat buku-buku bergambar bunga dan berlambang cinta, amat merimaskan. Biar pun mungkin isi kandungan buku itu memang tidak bagus, tetapi pesimis saya bukan kepada isinya, sebaliknya kepada tema. Terasa bagai hilang fokus apabila agenda pendidikan pemikiran siasah disampuk isu rumahtangga.
Bukan itu sahaja, saya masih dapat mengingati idea-idea rumahtangga simplistik yang dijadikan ‘polisi’ di kalangan aktivis dakwah.
“Walaupun abang tidak berhasrat untuk berpoligami, tetapi awak kenalah membuat persiapan mental untuk menerima poligami kerana ia Sunnah Nabi!”, kata seorang senior mewakili kebiasaan di masa itu.
Aduh!
Saya masih mengingatinya. Saban hari, suami-suami ‘mendera’ fikiran isteri untuk menerima konsep poligami dengan sangkaan bahawa itu adalah manifestasi kehendak agama. Ia menjadi ghuluw dalam beragama.

“Kenalah kahwin sama fikrah, sebab kalau kahwin berbeza fikrah maka habislah tenaga dakwah kita”, perkataan biasa yang disebut-sebut semua.
“Masalahnya bila balik Malaysia, yang satu fikrah pun dah ghaib!!!”, saya membantah.
Saya tidak nafikan, bahawa sefikrah itu suatu kelebihan untuk permulaan yang baik. Tetapi ia bukan suatu jaminan. Hakikatnya apabila dihitung kembali teman-teman yang sudah pulang ke Malaysia ini, jumlah yang ghaib secara berjemaah dari Jamaah itu sangat ramai. Semuanya sefikrah belaka.
“Habis anta nak suggest orang kahwin berlainan fikrah ke?”, tanya teman saya.
“Tidaklah begitu. Pada ana, semua tu terpulang kepada masing-masing. Apa yang penting, jangan suntik idea simplistik bahawa kalau berkahwin sefikrah, mesti terjamin. Kalau sefikrah tanpa usaha berterusan menyuburkan perkahwinan, tidak mustahil dakwah pun terlepas, rumahtangga pun berantakan!”, saya menjawab.
Kami sama-sama terdiam.
Kesimpulan saya, proses mendidik seorang da’ie untuk menjadi suami dan ayah, seorang da’iyah untuk menjadi isteri dan ibu, tidak pernah menjadi topik yang dominan di dalam proses Tarbiyah. Semuanya main pandai-pandai sendiri.
DAI’E, BAPA DAN SUAMI
Kesan daripada pengabaian hal ini, keretakan rumahtangga di kalangan aktivis dakwah menyebabkan segala-galanya musnah. Bagaimana mungkin sebuah masyarakat dan negara Islam boleh menjadi sebuah kenyataan, andai struktur rumahtangga Muslim berkecamuk tak berkesudahan?
Suami main kayu tiga, isteri main kayu tiga… segalanya berantai satu persatu dan sampai kepada akhirnya muncul pengaduan anak-anak aktivis dakwah yang bercerita kepada saya akan tekanan jiwa yang mereka hadapi akibat perbuatan ibu bapa yang juara di medan dakwah, dan juga siasah, tetapi terlepas pandang akan krisis yang membelenggu anak-anak mereka.
PESIMIS
Lebih malang, apabila saya cuba mengenengahkan isu ini kepada perbincangan, idea ini disambut dengan pesimis dan mental block yang merimaskan di kalangan aktivis dakwah malah ada yang seakan-akan mendesak bahawa jika saya mahu melakukan sesuatu berkenaan hal ini, pertaruhannya adalah rumahtangga saya sendiri!
“Jangan banyak cakap bro, nantu lu kena baru tahu!”, suara pesimis itu ‘mengugut’.
PENUTUP
Jujurnya saya tidak tahu bagaimana mahu menamatkan artikel ini, tetapi di saat-saat memikirkan satu demi satu kes yang dirujuk kepada saya, perasaan diri berkecamuk antara dua…
Saya rindukan kehidupan semasa di perantauan….
Dan saya perlukan kaunseling!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur